“Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.” An Nur ayat 31.
Hanis menutup tafsir al-Quran di tangan sambil berfikir dia tergolong di dalam golongan mana. Adakah sempurna cara dia menutup aurat ataupun tidak?
“Hoi!” Hanis tersentak apabila disergah Balqish. Balqish senyum sambil mengambil tempat di sebelah Hanis.
“Amboi, cantiknya bahasa,” Hanis berkata perlahan.
“Haah cantik! secantik tuannya,” Balqish ketawa berdekah-dekah. Hanis hanya tersenyum nipis sambil memandang Balqish.
“Kenapa dengan kau ni? Dari tadi jauh menung,” Hanis bertanya lembut.
Sekejap saja masa berlalu. Sudah empat tahun mereka berkawan. Perkenalan bermula dari hari pendaftaran masuk ke pusat pengajian tinggi dan menetap di bilik yang sama. Selepas tamat belajar, mereka mendapat kerja dan tinggal serumah pula. Makin akrab persahabatan mereka. Pantang berenggang. Bagai roti dan sri kaya.
“Hanis! Aku cakap bagai nak gila, kau boleh tenung muka aku macam nak telan,” Balqish mendengus.
Sergahan Balqish mengakibatkan Hanis melatah. Balqish sedikit kasar tingkah lakunya dan selalu gelojoh. Berbeza pula dengan Hanis yang lemah-lembut dan sentiasa berhati-hati tetapi, adakala berperangai gila-gila juga. Ada yang bertanya bagaimana dua sahabat ini boleh bersama? Jawab mereka hanya Allah ada sebab kenapa mereka dipertemukan dan mereka saling lengkap melengkapi antara satu sama lain di dalam setiap perkara.
“Hah! Kau nak kahwin? Alhamdulillah” latah Hanis.
“Kau nak rasa makan kasut saiz lima atau enam? Bila pulak aku cakap aku nak kahwin, aku cuma cakap mama nak jodohkan aku dengan anak kawan dia,” terang Balqish.
“Tak sama ke? Kau tetap nak kahwin kan?” Hanis menekan perkataan kahwin sambil tersengih memandang Balqish.
Balqish merajuk. Dia bangun. Tetapi, belum sempat melangkah tangannya dipegang erat dan Hanis menyuruhnya duduk semula hanya dengan menunjukkan isyarat.
“Merajuk pulak dia. Aku minta maaf,” Hanis tersenyum menampakkan gigi yang tersusun cantik.
Tiada balasan daripada Balqish. Dia merajuk sungguh-sungguh.
“Please! Maafkan aku Cik Nurul Balqish Insyirah,” pujuk Hanis manja dan penuh sopan-santun.
“Aku maafkan kau Cik Nur Hanis Amira,” Balqish berkata sambil tersenyum memandang Hanis.
“Okey! boleh sambung cerita cinta tragis kau!” Hanis ketawa kecil.
“Kau saja gelakkan aku. Bukannya kau tak kenal dengan mama. Kata mama, umur macam aku sepatutnya dah ada someone special, macam kau. Isy, siapalah nak kat aku yang comel dan lemak berkrim ni!” Balqish ketawa di akhir katanya. Hanis turut ketawa.
“Kau bagi jawaban apa?” tanya Hanis.
“Aku bagi tazkirah kat mama sebelum aku di tazkirahkan. Haha…” Balqish gelak dengan kata-kata sendiri. Hanis juga ketawa.
“Isy, kau ni kan! Nakal sungguh. Kau buka tazkirah apa kat mama?”
Khali sekejap. Balqish menarik nafas sedalam-dalamnya.
“Aku cakap bukan aku tak ada keinginan memiliki someone special, cuma aku belum ketemu seorang lelaki yang boleh menjadi imam dan nakhoda untuk aku dan bakal anak-anak kami nanti.”
“Amboi, sampai ke anak kau fikir kan?” Hanis berkata lembut sambil ketawa kecil.
Dua sahabat itu ketawa mesra.
“Yalah, kita kena fikir semua tu! Biar kita bersiap sebelum menghadapi.”
“Siapa jejaka bertuah yang mama nak jodohkan dengan anak singa mama ni?” Hanis sibuk bertanya.
“Bukan bertuah tapi malang.Hahaha…” Balqish ketawa kuat bagai terkena histeria lagaknya.
“Isy, Seriuslah!” Hanis menepuk paha Balqish lembut. Turutkan hati mahu ditepuk sekuat-kuat hatinya paha gebu milik Balqish itu.
“Haha. Marah pulak dia. Menurut kata mama,budak tu baru balik dari Jepun. Mama puji mamat tu melambung tinggi sampai ke langit ketujuh. Mama cakap mamat ni boleh jadi imam dan nakhoda untuk rumah tangga kami nanti.”
“Mestilah mama nak tengok jodoh kau seorang yang bertanggungjawab dan dapat menjaga anak dia yang brutal buntal ni!” Hanis gelak dengan kata-katanya sendiri.
“Ah! Malas cakap dengan kau. Baik aku tidur. Kau asyik sokong mama aje bukan nak sokong kawan baik kau nie! Merajuk dengan kau sampai esok. Tak payah cakap dengan aku. Malam ni kau tidur peluk bantal, jangan peluk aku.” Balqish menutup muka dengan bantal sambil membelakangkan Hanis.
“Eleh, siapa peluk siapa sebenarnya? Good night Balqish sayang,” Hanis gelak bagai nak gila melihat keletah Balqish bagai budak tak cukur umur. Walhal kalau kahwin, dah keluar dua tiga orang anak.
“Night!” keras Balqish menjawab. Marahlah tu!
xxxxxxxxxx
“Qish, tadi mama kau call aku. Dia mintak aku pujuk kau balik weekend ni!”
“Hah! Mama call kau? Kenapa mama tak call aku sendiri?” serius Balqish bertanya.
“Macam mama tak kenal kau. Pasti berjuta alasan keluar dari mulut becok kau kalau mama suruh kau balik. Sebab tu mama call aku suruh beritahu kau. Mama suruh aku ikut kau balik juga weekend ni!”
“Mama suruh kau ikut? Soal Balqish agak terkejut. Kepala yang tak berkutu digaru berkali-kali.
“Ya, mama kau suruh aku ikut kau balik.”
“Okey! Aku on,” bersemangat Balqish menjawab. Kadang - kala Hanis pelik. Jika dia ikut balik, cepat saja Balqish bersetuju. Kalau tidak jangan haraplah.
“Nis, aku tanya sikit boleh?” Balqish bertanya selepas masing-masing diam melayan perasaan.
“Apa?”
“Macam mana kau kenal dengan bakal kau?”
“Sebenarnya… aku tak kenal pun dia. Kau pun tahu kan. Aku keluar dengan dia berdua pun tak pernah, bergayut macam monyet, jauh sekali.”
“Itu aku tahu. Tapi macam mana kau terima dia sedangkan kau tak cintakan dia?”
“Kau percaya cinta selepas nikah?”
“Percaya.”
“Aku ingin cinta seperti itu, sebab tu aku menjaga batas-batas antara aku dan bakal. Kalau dia ada apa-apa boleh rujuk dengan umi dan abi. Kemudian umi akan beritahu aku macam tu jugak aku kalau ada apa-apa aku akan bagitahu umi dan abi. Aku nak menjaga supaya tak jadi perkara yang tidak sepatutnya terjadi ketika masih haram, nanti dah halal buatlah apa pun tak ada siapa akan cakap,”
“Kau pernah tengok bakal kau”
“Eh, apa punya soalan lah! Aku rasa kau sendiri tahu jawapan bagi soalan kau tu!”
“Mana tau kau curi-curi tengok,” Balqish ketawa dengan kata-katanya sendiri.
“Kau nak makan bubur dengan straw gamaknya,” Hani cuba bergurau.
“Haha… Aku lawak aje. Sejak bila Cik Hanis si lemah-lembut bertukar menjadi hulk berwajah comel ni?”
“Ada jugak yang kena ketuk kang. Aku tak pernah tengok sebab aku tak nak nanti aku menilai bakal aku dan cuba membandingkan dia dengan orang yang aku kenal dan tak kenal,” panjang Hanis menerangkan prinsip yang dipegangnya.
“Betul juga kan cakap kau tu! Aku ingat aku nak terimalah cadangan mama,” ujar Balqish. Ketika bercakap, kepalanya terangguk-angguk.
“Kau nak terima? Serius?” Soal Hanis dengan suara agak lantang. Dia betul-betul terkejut dengan kata-kata Balqish. Bagaikan mimpi di siang hari pula.
“Mestilah serius. Kau tengok muka aku, ada aku senyum?” Hanis membalas. Kemudian dia ketawa sopan.
Balqish turut ketawa.
“Setelah aku buat solat sunat istikharah cinta, menilai dan memeriksa semua aspek kaca mata aku, mama, kau dan masyarakat aku terima cadangan mama dengan hati terbuka.”
“Hah? Apa kena mengena aku dengan masyarakat dalam masalah kau pulak?” Hanis bertanya pelik.
“Mestilah ada. Terutamanya kau. Sebab kau yang banyak mengajar aku tentang semua ni walaupun kadang-kala kau sendiri tak perasan dan masyarakat pula sebab aku ada juga belajar kat internet tentang kahwin tanpa cinta dan bercinta selepas berkahwin. Ada faham Cik Hulk comel?” Balqish berkata lembut.
“Alhamdulillah. Aku selalu berdoa kau terima apa yang mama cadangkan ni!”
“Weekend ni kita balik rumah mama,” Balqish berkata sambil memandang ke arah televisyen.
“Tiada ibu yang ingin melihat anaknya hidup susah dan sudah tentu seorang ibu itu akan melakukan yang terbaik untuk seorang anak yang dibesarkan dari kecil hingga boleh berjalan dan berdikari. Aku redha Ya ALLAH dengan setiap apa yang telah tersurat kepadaku.” Balqish bermonolog sendirian sambil memerhati wajah tenang Hanis membaca buku di sebelahnya.
xxxxxxx
“Assalamualaikum,” Balqish memberi salam. Hanis diam berdiri di sebelahnya. Mereka masih menunggu salam berbalas.
“Waalaikumussalam! Anak – anak mama dah sampai,” Puan Kamariah menyambut kedatangan Balqish dan Hanis dengan sebuah senyuman.
“Rindunya dengan mama,” Hanis memeluk erat Puan Kamariah.
“Eh? Siapa anak mama sebenarnya nie?” Balqish menarik muka bila melihat Puan Kamariah memeluk Hanis kemas.
“Haha… merajuk pulak dia. Mestilah Qish anak mama dan Hanis pun anak mama,” mereka berpelukan.
“Kalau dengan Hanis, Qish tak cemburu. Kalau orang lain, Qish cemburu!”
“Macam tu pulak? Dah lah! Jom kita ke dapur. Mama rindu nak main masak-masak dengan anak –anak mama ni!”
“Mama, mana baba, along, angah, achik dan Syeera? Sunyi aje rumah ni?”
“Mereka pergi main badminton. Kejap lagi baliklah tu!”
“Ma, Qish terima cadangan mama. Tapi, dengan syarat.”
“Alhamdulillah. Apapun syarat Qish, mama terima saja,” Puan Kamariah mengucap syukur dengan penerimaan Balqish dengan cadangannya dulu.
“Bersaksikan hulk berwajah comel ni, Qish tak nak jumpa dengan lelaki tu sampai kami dah sah menjadi suami isteri. Semua persiapan dan perkara mesti melalui mama,baba dan mak ayah lelaki tu. Boleh ma?”
“Hulk berwajah comel? Kenapa Qish panggil Hanis macam tu? Tak baik, tahu.” Puan Kamariah menepuk lembut tangan Balqish.
“Mama tak tengok lagi Hanis marah. Serius ma, macam hulk tapi versi comel,” Balqish ketawa.
“Aku duduk diam pun kena jugak? Tak mengapa, aku redha.”Hanis menunjukkan muka sedih.
“Alah, aku lawak aje! Sejak nak jadi raja dua hari, cepat sungguh kau terasa.” Balqis mengusik Hanis sambil memeluk erat sahabat baiknya.
“Raja dua hari?” Hanis bertanya pelik. Berkedut dahinya.
“Yalah, sehari kat rumah kau, sehari lagi kat rumah bakal kau. Tak ke dua hari tu?”
“Yalah, sehari kat rumah kau, sehari lagi kat rumah bakal kau. Tak ke dua hari tu?”
“Haha… haah kan, pandai kau.”
“Dah lama aku sedar aku pandai,” kembang-kempis Balqish memuji diri sendiri.
Hanis menarik muka mendengar kata-kata Balqish. Meluat!
xxxxxxx
“Aku panas hati betul dengan mamat sewel tu?” Balqish ke hulur ke hilir sambil menyising lengan baju.
“Kenapa ni Qish? Mamat sewel mana pulak?” Hanis bertanya apabila melihat Balqish marah-marah.
“Mamat sewel kat office aku tu! Ada ke patut dia malukan aku di dalam mesyuarat. Dia cakap aku tunang dia! Apa cer? Bila masa pulak aku bertunang dengan dia?” Merona merah mukanya macam cili merah menahan marah.
“Siap jemput semua orang datang walimah dia bulan depan. Kalau walimah dia apa kena mengena dengan aku? Aku tahulah bulan depan aku pun nak nikah. Tapi, apa kena mengena dengan dia?” Sambung Balqish penuh semangat.
“Qish, kalau betul dia bakal kau macam mana?”
“Isy, tak mungkin,” Balqish membangkang. Berkali-kali kepalanya digeleng-gelengkan.
“Kalau betul dia bakal kau, kau kena redha. Kita tak tahu di sebalik sikap dia macam tu. Mungkin dia imam dan nakhoda sebenar untuk kau cuma belum sampai masa kau nampak semua tu! Aku percaya kalau dia betul untuk kau dia akan menjadi yang terbaik untuk kau dan bakal anak-anak kau. Kau kena percaya jodoh datang dari ALLAH dan semuanya telah tertulis di luth mahfuz. Kita sebagai hambaNya kena terima dan percaya yang jodoh dan cinta datang dari ALLAH, lepas ni kau akan tahu dan rasa betapa manisnya sebuah percintaan selepas kahwin dan percintaan yang diredhai oleh orang tua kita dan DIA. Walaupun orang tu kita tak suka sebelum ni,” panjang Hanis berkata.
“InsyaAllah, aku akan terima dan redha jika mamat sewel tu memang ditakdirkan untuk aku,” Balqish mengalah setelah mendengar kata-kata Hanis.
“Nis, kau yang tunang dulu daripada aku, tapi aku yang nikah dulu daripada kau.”
“Berapa banyak perkataan ‘dulu’ kau nak guna ni?”
“Seberapa banyak yang boleh. Tak ada limit untuk aku gunakan,” Balqish ketawa. Terasa lucu dengan kata-katanya sendiri.
“Isy, kau sedar tak? Kejap lagi kau nak nikah, bawa-bawa lah sedar diri kau tu bakal tua daripada aku.” Hanis ketawa terkekeh-kekeh kerana berjaya mengenakan Balqish.
“Menyampah betul cakap dengan kau!”
Hanis ketawa.
“Nis, aku takutlah.”
“Banyakkan selawat dan istighfar. InsyaAllah semuanya akan berjalan dengan lancar,” Hanis memberikan sedikit nasihat. Balqish menurut.
“ Bakal kau dah sampai. Tunjuk keayuan kau sikit.”
“Ya ALLAH, tenangkan hatiku. Ya ALLAH, aku redha di atas jodoh yang telah kau tetapkan kepadaku. Ya ALLAH, berkatikanlah rumah tangga kami. Ya ALLAH, jadikanlah aku bidadarinya di dunia juga di syurga,” Balqish berdoa dalam hati.
“Aku terima nikahnya Nurul Balqish Insyirah binti Muhammad Basyir dengan mas kahwinnya 90 ringgit tunai.”
“Sah!?”
“Sah,” tiga orang lelaki menjawab seretak.
“Alhamdulillah. Qish, kau dah jadi isteri orang. Aku gembira untuk kau Qish,” ucap Hanis sayu. Ada air mata bergenang di tubir matanya.
“Nis, kau jangan nangis. Nanti aku nangis sekali.”
“Okey! aku senyum ni. Qish, bakal kau dah datang tu!”
“Assalamualaikum sayang. Tak nak pandang muka abang yang kacak ni ke?” Hafiz berkata sambil tersenyum melihat isterinya tertunduk malu.
“Waalaikumussalam. Hah?” terkedu Balqish melihat wajah suaminya.
“Malam nanti kita sembang ya. Simpan dulu apa yang sayang nak katakan pada abang,” Hafiz berlalu sambil mengenyit mata kepada Balqish.
“Nis, itulah mamat sewel yang aku cerita kat kau dulu,” terketar-ketar Balqish berkata.
“Haha… mamat sewel tu jugak kau peluk nanti,” Hanis mengawal ketawa dari didengar orang lain.
“Hanis…!”
“Assalamualaikum, penghuni bilik yang cantik lagi rupawan,” Hafiz melangkah masuk ke kamar pengantin yang dihias cantik bagai di dalam istana.
“waalaikumussalam,” perlahan Balqish menjawab.
“Perlahannya isteri abang jawab. Mana suara sayang? Selalu sebatu boleh dengar suara sayang, ” Hafiz mengusik Balqish.
Balqish terasa geram. Perut Hafiz dicubit kuat.
“Aduh! Sakit sayang. Kalau macam ni, jawabnya banyak peta kat badan abang ni!” Hafiz mengosok perut kesan cubitan Balqish.
“Jadi awak tahu dari hari tu yang saya bakal isteri awak?” tanya Balqish dengan nada geram.
“Awak? Mulai sekarang abang tak nak sayang panggil abang awak, dan bahasakan diri saya. Abang nak sayang panggil abang dengan abang dan bahasakan diri sayang, sayang. Faham?”
“Hmmm… Kalau panggil esok boleh tak?”
“Tak boleh! Kalau sayang tak nak panggil, abang tak jawab soalan sayang.” Hafiz mengangkat kening sambil tersenyum melihat Balqish.
“Okey! Sa….yang panggil a..bang,” tergagap-gagap Balqish bersuara.
“Haha… Macam itulah bidadari abang. Okey! kita berbalik pada soalan sayang tadi. Memang abang dah tahu sayang tunang dan bidadari abang di dunia dan akhirat. Abang sengaja buat macam tu bila jumpa sayang sebab abang suka tengok muka marah sayang. Comel sangat.” Hafiz ketawa melihat muka Balqish berubah warna.
“Eee… Menyampah!”
“Tak baik tau menyampah dengan suami sendiri. Abang mintak maaf pasal kelakuan abang sebelum ni!” Hafiz memegang erat tangan Balqish.
“Sayang maafkan abang.” Balqish membalas genggaman tangan hafiz sambil membalas senyuman suami tersayang.
“Abang, sayang nak tanya sikit boleh?” lembut Balqish bertanya.
“Tanyalah.”
“Siapa nama sebenar abang?”
“Nama suami sendiri pun tak tahu? Sayang tak tengok kad kahwin kita ke?”
Balqish hanya menggelengkan kepala. Semua persiapan diuruskan oleh mama. Dia hanya setuju menjadi pengantin.
“Nama suami sayang yang kacak lagi romantik ini ialah…jeng… jeng…”
“Abanggg.. seriuslah.”
“Sayang jangan jeling abang macam tu! kang jadi lain,” Hafiz ketawa dengan kata-kata sendiri.
“Ketawalah seorang. Sayang nak keluar. Lagiii… seronok,” belum sempat Balqish bangun, Hafiz terlebih dahulu menahan.
“Kuat merajuk juga sayang abang ni. Nama sebenar abang ialah Muhammad Shahrul Hafiz bin Muhammad Ismail.”
“Kenapa kat office orang panggil abang dengan nama Shahrul?” tanya Balqish ingin tahu.
“Panggilan Hafiz hanya untuk keluarga. Sebabnya semua adik beradik lelaki bermula dengan nama Shahrul. Kalau panggil semua Shahrul kat rumah kang semua menyahut. Tak ke susah nanti?”
“Okey, terima kasih kerana menerangkan secara terperinci wahai Encik Hafiz,” Balqish ketawa perlahan. Seronok dapat mengenakan Hafiz.
“Pandai ya kenakan abang,” Hafiz tersenyum melihat Balqish tertunduk malu bila ditenung lama.
“Jom kita buat sunat syukur. Semoga ALLAH memberkati rumah tangga yang kita bina sayang,” Hafiz bangun untuk mengambil wuduk. Balqish membuntut dari belakang.
Siapa sangka orang yang paling aku benci kini menjadi suami aku. Sejak aku mendengar akad tadi aku sudah mula menanam rasa sayang dan cinta hanya untuk suami tersayang, dan kini baru aku mengerti bahawa jodoh dan cinta dari ALLAH. Terima kasih ALLAH kerana pertemukan aku dengan seorang imam dan nakhoda seperti Muhammad Shahrul Hafiz.
Alhamdulillah Ya ALLAH kau pertemukan aku dengan seorang gadis sebaik Nurul Balqish Insyirah, pelengkap tulang rusukku, menjadi seorang ibu kepada anak-anakku dan menjadi bidadariku di dunia dan juga di akhirat. YA ALLAH pimpinlah kami dalam perjalanan rumah tangga yang penuh dengan cabaran dan dugaan ini. Kau tebalkanlah kesabaran dalam diri kami ketika menghadapi cabaran yang KAU berikan dan berilah kekuatan kepadaku agar menjadi imam dan nakhoda ketika menguruskan rumah tanggaku.
Hafiz bersyukur dan berdoa dalam hati agar jodohnya diberkati hingga ke syurga.

1 comments